Rabiul Awwal muncul bersama catatan perjalanan sejarah silam yang indah pabila mengimbas kembali bulan di mana telah lahirnya bayi bertuah pada Tahun Gajah oleh seorang ibu yang tabah bernama Siti Aminah setelah kematian suami tersayang namanya Abdullah. Muhammad itulah nama pilihan bagi bayi mulia ini yang dibangkit menjadi nabi lagi rasul akhir zaman bagi mengeluarkan manusia daripada kesesatan dan penindasan kepada cahaya iman dan keadilan Islam. Lahirnya dicelah Empayar Rom dan Parsi yang bertakhta bersempadan dengan Semenanjung Tanah Arab yang merupakan kuasa yang kuat dengan tamadun material yang mewah disamping kegemilangan Empayar China dan India di sebelah timur dengan kuasanya yang gagah bukan sebagai pemusnah kepada tamadun yang dibina tetapi untuk meniupkan ruh kemanusiaan dan keimanan dalam meninggikan lagi tamadun material yang sedia ada bagi menjamin kebahagiaan dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Tugasnya yang berat mampu ditunaikan penuh gemilang demi merealisasikan kebahagian seluruh umat manusia di alam jagat ini yang melampaui batas bangsa, bahasa, budaya, negara dan warna kulitnya.
Baginda memainkan peranan bukan sahaja sebagai pendakwah tetapi turut merangkumi tugas sebagai pemimpin negara yang unggul dan juga sebagai guru yang mendapat tarbiah terus daripada Allah Yang Maha Agong. Cara dan proses pengajaran serta pentarbiahan yang telah dijalankan oleh baginda mesti diteruskan oleh generasi selepasnya termasuk kita dalam memastikan kejahilan terungkai dan keadilan termeterai.
Suasana pembelajaran dan pentarbiahan mesti dikemaskini sentiasa agar generasi yang dilahirkan mampu menjadi umat contoh. Peranan yang dimainkan oleh para guru begitu besar melebihi peranan yang dimainkan oleh pembina bangunan yang tinggi kerana runtuhnya sesebuah bangunan memang merugikan material dan membahayakan nyawa tetapi rosaknya seorang manusia bukan sahaja membahayakannya dirinya malah turut menjejaskan kesejahteraan negara.
Oleh itu hormatilah guru sebagaimana kata Sayyidina Ali bin Abi Tholib bahawa jika seseorang itu telah mengajarku tentang huruf alif bagi membezakannya dengan perkara yang lain maka aku akan memberikan kepadanya apa sahaja daripada barangan berharga sebagai tanda terima kasih. Bayangkanlah pengorbanan para guru kita di mana mereka bukan sahaja telah mengajar kita tentang huruf alif tetapi banyak lagi ilmu yang berguna yang lain. Maka apakah yang telah kita curahkan kepada mereka bagi menunjukkan terima kasih kita terhadap mereka.Memang mereka tidak pernah meminta agar jasa mereka dibalas tetapi impian mereka adalah begitu tinggi iaitu untuk melihat anak didik mereka mampu lahir sebagai warganegara yang soleh dengan akhlak yang murni bagi berkhidmat untuk negara pertiwi.
Benarlah kata-kata bahawa ADAB itu mengatasi ILMU yang ada. Seseorang itu dihormati dan disayangi bukan semata-mata kerana ilmunya yang tinggi tetapi mesti disertai dengan pengamalan terhadap ilmu di dada sehingga zahirnya akhlak yang mulia sebagai contoh kepada masyarakat di sekelilingnya. Apa gunanya ilmu yang banyak jika akhlaknya rosak sehingga tidak mampu diikuti oleh orang lain. Jangan memperlekeh guru kita walau pun pengetahuan kita agak lebih dalam sesuatu perkara. Jangan membangkang guru pada had yang melampaui batas walau pun pendapat kita berbeza bagi menjaga adab sebagai pelajar yang beradab.
Ingatlah bagaimana hormatnya Imam syafie terhadap gurunya Imam Malik sehingga ketika menziarahi maqam gurunya itu Imam Syafie walau pun berijtihad bahawa membaca doa qunut solat Subuh merupakan sunat ab'adh iaitu jika ditinggalkan maka disunat sujud sahwi tetapi ketika bersembahyang subuh di sisi maqam gurunya itu, beliau tidak membaca doa qunut sebagai menghormati ijtihad Imam Malik bahawa tidak disunatkan membaca doa qunut semasa solat Subuh.Walau pun gurunya telah meninggal tetapi penghormatan tetap diberikan. Bagaimana pula dengan kita adakah kita terus menghormati guru kita walau pun telah lama meninggalkan alam sekolah malah ramai kalangan kita telah pun berkerja. Adakah penghormatan kita tetap berikan kepada para guru walau pun mereka telah pun bersara malah ramai yang telah kembali menyahut panggilan Ilahi. Kenalkah kita pusara tempat guru yang telah meninggal dunia itu kini sedang bersemadi.
Sayangi guru, hormati guru dan doakan kesejahteraan mereka. Wahai guruku ampuni segala kesalahanku sepanjang aku mencedok ilmu daripadamu. Terima kasih di atas segala tunjuk ajar dan nasihat yang dihulurkan kepadaku selama ini. Ku doakan guru bahagia di bawah payung rahmat dan kasih Rabbul 'Izzati....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan