Halaman

Sabtu, 18 Disember 2010

ISU HANGAT ADAKAH ‘COUPLE’ DIBENARKAN?



1. KAMI HANYA BERBUAL-BUAL, BERBINCANG, BERTANYA KHABAR,MINUM-MINUM DI KAFE. 
ADAKAH ITU MENGHAMPIRI ZINA? 
 
Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan. 
 
2. KAMI DAPAT MENGAWAL PERASAAN DAN KAMI TIDAK BERNIAT KE ARAH ITU. 
 
Hari ini ya.Esok mungkin kamu kecundang.Iblis akan memerangkap kamu.Iblis amat 
berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,
Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat ,pesanan Rasulullah :Janganlah engkau bersendirian 
dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya ,syaitan (Tabrani) 
.Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis. 
 
3. TIDAK SEMESTINYA SEMUA ORANG BERCINTA MENJURUS KEPADA PENZINAAN. 
ADA YANG BERCINTA DALAM TELEFON DAN HANTAR SMS SAHAJA. 
TIDAK PERNAH BERSUA MUKA PUN! 
 
Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. 
Memang pada awalnya tidak bersua muka. 
Tapi perasaan pasti bergelora,lambat laun desakan nafsu dan 
perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. 
Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan. 
Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya? 
 
4. TAKKAN NAK BERBUAL-BUAL PUN TAK BOLEH? ITUPUN ZINA KE? 
 
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu 
berpegang-pegangan, 
ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan 
khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah : 
Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina 
dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman 
(muslim dan Abu Daud). 
Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. 
Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan. 
 
5. DUDUK BERDISKUSI PELAJARAN TAK BOLEH KE? BINCANG PELAJARAN SAHAJA! 
*(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)* 
 
Berdiskusi pelajaran, 
betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba- hambaNya. 
Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh 
Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak 
bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah 
suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. 
Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid. 
 
6. SUNGGUH! BINCANG 
PELAJARAN SAHAJA. NI STUDY GROUP. *(bagi kes berdua-duaan SAHAJA) 
 
Study Group...? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. 
Takkan study group berdua sahaja? Kemana- manapun berdua. Kalau ye pun, carilah group study 
ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni...betul ke bincang pelajaran? 
Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu... banyak masa dihabiskan dengan 
fantasi cinta! 
 
 
7. TIDAKLAH. SUNGGUH BERBINCANG PELAJARAN. 
 
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke?
Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. 
Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia. 
 
8. KAMI BERDUA SAMA-SAMA BELAJAR, STUDY GROUP, SALING MEMBERI SEMANGAT 
DAN MOTIVASI. 
 
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? 
Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? 
Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan 
kaum sejenis.Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula. 


9. TAKKANLAH TAK ADA LANGSUNG RUANG YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM UNTUK 
BERCINTA? ADAKAH ISLAM MEMBUNUH TERUS NALURI CINTA? 
 
Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. 
Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. 
Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. 
Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! 
Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. 
Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. 
Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. 
Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. 
Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. 
Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu. 
 
10. TENTU ADA CINTA SECARA ISLAM. 
 
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin.
Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. 
Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan 
dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, 
ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : 
Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). 
Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia. 
 
11. KALAU BEGITU, CINTA REMAJA SEMUA MENGHAMPIRI KEPADA PENZINAAN? 
 
Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. 
Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. 
Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. 
Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam 
kawan, sekarang macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan 
penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan 
dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan 
putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun! 
 
 
12. MASIH RAMAI ORANG YANG BERCINTA TETAPI TETAP SELAMAT TIDAK SAMPAI BERZINA. 
KAMI TAHAN DIUJI. 
 
Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. 
Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara 
yang ditegah takut manusia akan kecundang. 
 
13. JADI MANUSIA ITU TIDAK TAHAN DIUJI? 
 
Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. 
Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia.
Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak memakan buah khuldi dalam syurga. 
Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. 
Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu. 
Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari 
makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. 
(jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang zalim 
(al-Araf:19) 
 
Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, 
takut nanti mereka akan memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. 
Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina,
kedua-duanya akan kecundang.Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita 
Adam dan Hawa. 
 
14. TETAPI CINTA SELEPAS KAHWIN BANYAK MASALAH. 
KITA TAK KENAL PASANGAN KITA SECARA DEKAT. BERCINTA ADALAH 
UNTUK MENGENAL HATI BUDI PASANGAN SEBELUM BUAT KEPUTUSAN KAHWIN. 
 
Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? 
Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. 
Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik. 
Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk. 
Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang yang 
kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. 
Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat 
penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. 
Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. 
Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. 
Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Kalau mahu mengetahui peribadi pasangan, 
itulah sebabnya Islam ada membuat pertunangan. 
Tetapi pertunangan juga ada batasan yang sama seperti sebelum kahwin. 
Syarat-syarat semasa dalam pertunangan juga sama ketika sebelum berkahwin. 
Hanya perkahwinan sahaja yang menghalalkan perkara-perkara yang haram antara lelaki dan 
perempuan yang bukan muhrim. Jika mahu mengenali hati budi pasangan, adalah 
dicadangkan supaya pasangan tunang itu bertemu sahaja di rumah pasangan masing-
masing bersama-sama dengan keluarga masing-masing. Bukankah itu lebih baik? 
Keluarga dari kedua-dua belah pihak boleh mengenali sesama sendiri dengan lebih dekat lagi. 
 
15. PERCAYALAH, KAMI BERCINTA DEMI MERANCANG KEBAHAGIAAN HIDUP NANTI. 
 
Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah?
Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. 
Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. 
Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, 
jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. 
Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu 
prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan ini. 
Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang 
bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya? 
 
16. TANYA SIKIT, ADIK ANGKAT, KAKAK ANGKAT, ABANG ANGKAT BOLEH KE? 
 
Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. 
Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. 
Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. 
Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. 
Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, 
motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. 
 
17. JADI SEOLAH-OLAH ORANG YANG BERCINTA TELAH HILANG MARUAH DIRI? 
 
Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.
Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak 
menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak 
mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak 
bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. 
Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah. 
 
18. ADAKAH ORANG YANG BERCINTA HILANG MARUAH? 
 
Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba 
menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. 
Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. 
Allah berfirman: 
 Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina 
atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengan 
melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang 
demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. 
(Surah An-Nur: 3) 
 
Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. 
Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan. 
 
19. JADI ORANG YANG BERCINTA HANYA LAYAK BERKAHWIN 
DENGAN ORANG YANG PERNAH BERCINTA JUGA? 
 
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. 
Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. 
 
20. KAMI TELAH BERJANJI SEHIDUP SEMATI 
 
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? 
Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. 
Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah. 
 
21. SI DIA INI LAIN DARI YANG LAIN. DIA LELAKI YANG PENYAYANG DAN BERTANGGUNGJAWAB. 
 
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai 
isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak- anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. 
Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan 
kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki. 
 
22. JADI, PEREMPUAN YANG BERCINTA, JATUH MARUAHNYA PADA PANDANGAN LELAKI? 
(tidak mengikut syariat) 
 
Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand 
sedangkan barang yang baru masih ada. 
Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja.
Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; 
sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. 
Sedihkan. Itulah hakikatnya. 
 
 
23. MASIH ADAKAH ORANG YANG TIDAK BERCINTA DI ZAMAN INI? 
 
Ya, masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. 
Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: 
Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang 
memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah 
telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah 
Al-Ahzab: 35) 
 
24. BAGAIMANA KAMI? 
 
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. 
Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. 
Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya. 
 
25. KAMI INGIN MENDAPAT REDHA TUHAN. TUNJUKKANLAH BAGAIMANA TAUBAT NASUHA. 
 
Taubat yang murni. Taubat yang sebenar- benarnya. Taubat yang memenuhi tiga syarat: 
Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. Menyesal. 
Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. Berazam. 
Bertekad didalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali 
dengan seseorang yang bernama isteri atau suami .Saatnya adalah selepas ijab kabul. 
Ingatlah semakin bebas pergaulan sebelum berkahwin, 
semakin hambar & kurang rasa cinta setelah menjadi suami isteri. 
 
Ya Allah. Hambamu ini telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. 
Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan penerima taubat . 
Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. 
Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. 
Ibu dan ayah, anakmu berdosa . Engkau jaga diriku sedari kecil dengan kasih sayang. 
Mengapaku curahkan kasih itu kepada orang lain. 
Oh Tuhan, hambamu ini berdosa Amin , yarabbal alamin. Moga Allah terima taubatmu. 
 
KITA  BERTEMU BERPISAH KERANA ALLAH, 
SETIAP SESEORANG ALLAH TELAH TENTUKAN PASANGANNYA. 
BINATANG PUN ALLAH TETAPKAN PASANGAN BAGINYA. 
APATAH LAGI KITA MANUSIA YANG ALLAH JANJIKAN SYURGA
(TEMPAT YG MENJADI IMPIAN SETIAP MANUSIA). 
KALAU ADA JODOH, TIDAK KEMANA!
sekian,
wassalam

3 ulasan:

Cahaya Purnama berkata...

assalmmualaikum ya akhi...
memang benar apa yang dikatakan didlm artikel tersebut... Tp,klau seorang pompuan menyukai seorang lelaki tanpa diketahui lelaki tersebut,adakah tu juga dikatakan sebagai zina hati...??

Tanpa Nama berkata...

As-Salam. menyukai pada pandangan saya belum termasuk zina hati. tengok la pula suka yang macam mana, selalu sangat teringat dia sampai kewajipan pada Allah terlalai pada saya dah ikut hasutan syaitan. Lebih teruk sampai berangan-angan adegan romantis sebagai pasangan kekasih atau suami isteri, rasanya itu dah masuk kategori zina hati. Wallahualam.

Unknown berkata...

Bimbing Daku II : Waalaikumussalam wbt.. Allah memberi perasaan kepada hamba-hamba-Nya.. salahkah kita menggunakan perasaan yang Allah beri kepada kita?
Saudari, Allah itu tidak ZALIM... ada sebabnya kenapa manusia diciptakan dengan perasaan.. Cuma Islam menetapkan batasan terhadap kita.. mempunyai perasaan suka terhadap seseorg lelaki itu tak salah.. tetapi apa yang salahnya ialah kita menyukai lelaki tersebut sampai menyebabkan kita LALAI dari mengingati ALLAH.. menyebabkan kita jauh dari agama-Nya..
Padahal perkara yang sepatutnya berlaku apabila kita menyukai si dia ialah kita semakin dekat kepada Allah.. Insya Allah, itu antara ciri-ciri suami yang terbaik buat saudari..=)
wallahua'lam...
credit kpd sahabat ana di atas yg tolong menjawab persoalan ini...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...